Bakal diusir dari rumah sewa, Uji Rashid dapat rumah PPR

KUALA LUMPUR 14 Mac – Setelah sekian lama menyepi tanpa khabar berita, penyanyi veteran yang banyak mencurahkan jasa dalam industri muzik tanah air, Uji Rashid hari ini tampil dengan berita menyayat hati apabila terpaksa memohon untuk mendapatkan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Kisah penyanyi yang tersohor sekitar tahun 1970an ini menjadi perhatian apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memuat naik di laman Facebook gambarnya bersama Uji Rashid, anaknya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau Cico serta cucu penyanyi itu.

Noh dalam catatan di Facebooknya itu berkata, Uji Rashid telah datang ke pejabatnya berhubung permohonan penyanyi itu untuk mendapatkan rumah PPR.

“Beliau (Uji Rashid) ada memohon rumah PPR sebelum ini dan saya diberi maklum beliau akan diusir dari rumah sewa di Ampang dalam masa terdekat atas sebab yang sangat menyedihkan.

“Memandangkan permohonan menepati syarat, saya beri kelulusan khas untuk beliau dan keluarga dapat mendiami PPR dengan segera. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi sinar baru dalam kehidupan Uji Rashid sekeluarga,” katanya Noh melalui catatannya itu.

Sementara itu sumber yang rapat dengan Uji Rashid memberitahu, sudah agak lama Uji memohon untuk mendapatkan rumah PPR dan ramai yang menabur janji manis untuk membantunya namun tiada yang berhasil.

Sehinggalah pada tengah hari tadi, Uji sepatutnya bertemu dengan seorang pegawai perumahan di kementerian berkenaan, tetapi beliau dihalang oleh pengawal keselamatan.

“Dalam kekecohan itulah, Allah maha berkuasa. Tan Sri kebetulan ada di pejabatnya dan Uji dapat berjumpa terus dengan Tan Sri.

“Uji serahkan segala dokumen berkaitan dengan permohonan untuk mendapatkan rumah PPR dan alhamdulillah, permohonan beliau diluluskan oleh Tan Sri Noh sendiri,” katanya sumber itu melalui watsapp kepada wartawan Utusan Online sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE

 

Sumber – menujukebenaran