Anak Mati Lemas Kepanasan Dalam Kereta .. Ini Komen Ayah Arwah Nur Awfa Humaisha

“BERILAH kami ruang kerana kehilangan anak bongsu ini amat menyedihkan,” kata Muhamad Ali Riduan, 30-an, bapa kepada bayi perempuan berusia dua tahun yang lemas dalam kereta ibunya di parkir sebuah kolej kemahiran di Port Dickson, semalam.

Dia yang reda dan menerima takdir menimpa anaknya itu, berkata mereka sekeluarga masih terkejut, malah isterinya, Hasmah Masroh, 32, terlalu sedih dan kerap menangis setiap kali terkenangkan anak kecil yang dimanjakannya sebelum ini.

“Saya tidak mahu komen banyak kerana bimbang menjejaskan siasatan polis. Kami pun baru sahaja pulang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi memberi keterangan. Biarlah keadaan reda dan isteri saya yang masih trauma kuat sedikit terlebih dahulu.

“Semua yang berlaku bukan kehendak kami dan tidak disengajakan. Kejadian ini terlalu tragis bagi kami sekeluarga. Maaf kerana kami masih bersedih dengan kehilangan anak bongsu kami ini,” katanya yang enggan mengulas panjang mengenai kes itu.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Penerangan MIC Datuk VS Mogan, di rumahnya di Taman Hartamas Sunggala, Port Dickson, hari ini.

Semalam, anak bongsu pasangan itu, Nur Awfa Humaisha, meninggal dunia akibat sesak nafas selepas tertinggal di dalam kereta ibunya selama kira-kira empat jam di parkir kolej kemahiran itu yang terletak di Batu 3.

Difahamkan, bayi itu yang masih tidur diangkat oleh ibunya sebelum diletakkan di tempat duduk belakang kereta mereka, namun wanita berkenaan terlupa mengenai anaknya itu dan terus masuk ke pejabat dan memulakan kerja.

Dia hanya menyedari perkara itu kira-kira empat jam kemudian dan bergegas ke kereta, namun mendapati tubuh anaknya sudah kebiruan dan membawanya ke Klinik Kesihatan Port Dickson sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Muhamad Ali berkata, Nur Awfa Humaisha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Kemang, petang semalam.
‘Ibu minta maaf sayang, ibu terlupa’

“MAAFKAN ibu… maafkan ibu sayang, ibu tak sengaja,” jerit Hasmah Masroh, 32, selepas anak perempuannya, Nur Awfa Humaisha Muhammad Ali Riduan, 2, maut akibat sesak nafas, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai tertinggal di dalam kereta selama empat jam di tempat letak kereta sebuah kolej kemahiran di Batu 3 Port Dickson.

Suasana sedih menyelubungi perkarangan bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD) apabila wanita terbabit terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga dan kenalan.

Ratapan Hasmah menyebabkan hampir 30 rakan sekerja yang hadir untuk memberikan sokongan dan dorongan semangat turut sama mengalirkan air mata.

“Ibu minta maaf sayang, ibu betul-betul terlupa… ibu tak ingat, ibu menyesal. Malam tadi (semalam) Awfa okey saja, hari ini Awfa dah pergi tinggalkan ibu,” kata wanita itu.

Hasmah memberitahu rakannya sebelum kejadian, dia mengangkat anaknya yang sedang tidur di rumah di Taman Hartamas, Sunggala dan meletakkan di tempat duduk belakang kereta Proton Saga miliknya.

Katanya, sebaik tiba di kolej itu, dia terus mematikan enjin kereta lalu memasuki pejabat hingga tidak sedar anaknya ada bersama.


KAKAK mangsa tidak dapat menahan sebak dengan pemergian adiknya. FOTO Hazreen Mohamad

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Ali Riduan, 30-an, berkata dia mengetahui mengenai kejadian pada 1.30 tengah hari selepas dihubungi isteri ketika berada di tempat kerja di Pejabat Tanah Daerah Seremban.

“Saya reda dengan ketentuan ini, dan sesungguhnya Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya sebak dan enggan mengulas panjang.


HASMAH yang menangisi kematian anak perempuannya ditenangkan rakan di Hospital Port Dickson, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan ditinggalkan dalam keadaan pintu dan tingkap kereta tertutup bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Katanya, wanita terbabit hanya menyedari anaknya ditinggalkan selepas empat jam lalu bergegas lari ke kenderaan untuk mendapatkan anaknya.

“Malangnya mangsa sudah tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson sebelum disahkan sudah meninggal dunia dan dirujuk ke HPD,” katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia disebabkan strok haba atau kepanasan melampau.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jenazah akan dikebumikan di Telok Kemang selepas solat Maghrib, malam ini.

Sumber: HMETRO ONLINE